PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengatasi masalah lambakan calon yang terpaksa menunggu lama mendapatkan lessen memandu.
Menterinya, Anthony Loke berkata pasukan berkenaan akan dianggotai wakil kementeriannya dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi melihat perkara terbabit dengan lebih serius.
Katanya, sejak tahun lalu dan ketika pandemik COVID-19 terdapat banyak kes permohonan untuk mendapatkan lesen memandu masih tertangguh.
"Ramai di kalangan mereka yang mengadu terpaksa menunggu lama. Saya juga sudah arahkan kementerian untuk melihat apa cara yang boleh kita bantu untuk percepatkan proses ujian memandu.
"Ketika ini terdapat banyak calon yang terpaksa menunggu giliran sehingga berbulan-bulan untuk menduduki ujian dan masalah ini juga kita patut bantu untuk percepatkan.
"Semasa mengadakan dialog dengan Institut Memandu (IM), perkara ini turut dibangkitkan. Kementerian mengambil berat dan mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan," katanya selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke 3 Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia, di sini hari ini.
Setiap tahun dianggarkan kira-kira 600,000 calon mendaftar ujian memandu bagi mendapatkan lesen motor kelas B2 dan D.